Jumaat, 17 Oktober 2008

Suhakam gesa tarik balik pengharaman Hindraf



Harakahdaily Fri Oct 17, 08 7:54:35 am MYT
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta kerajaan menarik balik pengharaman terhadap Hindu Rights Actions Force (Hindraf).
Bernama melaporkan, tiga pesuruhjayanya, Tan Sri Simon Sipaun, Dato' Dr Michael Yeoh Oon Kheng dan Dato' Dr Denison Jayasooria dalam satu kenyataan bersama semalam berkata pengharaman itu akan menyisihkan pergerakan sosial berkenaan daripada masyarakat arus perdana.
"Suhakam juga berpendapat bahawa pengharaman terhadap Hindraf tidak akan menyelesaikan isu-isu yang diperjuangkan kumpulan dan individu pergerakan itu," menurutnya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengharamkan pergerakan Hindraf.
Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar berkata pengharaman itu dibuat selepas kementerian berkenaan mempunyai segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Suhakam juga berkata pengharaman Hindraf merupakan satu pencabulan terhadap hak asasi manusia.
"Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Hindraf menghantar satu permohonan kepada mendaftar sebagai sebuah pertubuhan pada 16 Oktober 2007.
"Pihak kementerian seharusnya meluluskan pendaftaran penubuhannya, dan meletakkan tanggungjawab kegiatan persatuan itu terhadap pemimpinnya," menurut kenyataan itu.
Oleh itu, Suhakam meminta supaya pengharaman itu ditarik balik bagi membolehkan individu dan kumpulan anggota pertubuhan itu dijadikan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap segala tindak tanduk pergerakan itu. - mks._

Tiada ulasan: