Rabu, 8 Oktober 2008

Krisis: Umno Kubang Kerian, Rantau Panjang berarak ke Perhubungan Negeri


KOTA BHARU, 7 Okt (Hrkh) - Kegawatan rumah tangga Umno bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi, sebaliknya kekalutan di peringkat bawah tidak mampu dibendung lagi kerana masing-masing mahu berebut menjadi ketua.
Lebih mengaibkan lagi apabila ada mesyuarat cawangan diadakan secara sulit dengan mendapatkan tandatangan ahli dari rumah ke rumah seperti dilaporkan media berlaku di Kubang Kerian, baru-baru ini.
Bagaimanapun situasi tambah tegang apabila ada beberapa kumpulan mengadakan perhimpungan di perkarangan Pejabat Perhubungan Umno Kelantan di sini hari ini sebagai menyatakan bantahan mereka.
Kumpulan tersebut daripada Umno Bahagian Rantau Panjang dan Kubang Kerian. Mereka berkumpul di pejabat tersebut dan berharap pihak atasan menyelesaikan segera masalah yang berlaku.
Kumpulan wanita Umno dari Rantau Panjang memberitahu mereka datang beramai-ramai bagi mendapatkan pengesahan mesyuarat cawangan di bahagian terbabit baru-baru ini.
Mereka meluahkan rasa tidak puas hati ekoran tindakan Ketua Wanita Bahagian Rantau Panjang yang dikatakan mahu memastikan cawangan-cawangan terus mencalonkannya sebagai ketua wanita bahagian.
Rohana Idris, 38 dari cawangan Chicha Tinggi berkata, cawangan itu telah mengadakan mesyuarat seperti diarah, namun sehingga kini tiada sebarang pengesahan dibuat terhadap mesyuarat tersebut.
"Saya berharap pihak perhubungan negeri dapat mengesahkan mesyuarat cawangan saya kerana kalau tidak disahkan, ia akan menjejaskan muka baru bagi merebut jawatan ketua wanita iaitu Rohani Mamat," ujar beliau.
Norida Abd Wahab, 26 dari Cawangan Bukit Tuku berkata, cawangan tersebut sebulat suara mencalonkan Rohani Mamat merebut jawatan ketua wanita, namun bahagian mengarahkan mesyuarat tersebut dibatalkan kerana tidak mencalonkan ketua wanita yang ada sekarang.
"Saya juga merupakan jawatankuasa pemantau pemilihan merasa bersalah sekiranya menafikan hak cawangan-cawangan untuk mencalonkan Rohani," katanya.
Rohani ketika ditemui memberitahu beliau berhasrat bertanding jawatan ketua wanita Rantau Panjang kerana tidak senang dengan ketua wanita sekarang yang didakwa membantu calon Bebas pada pilihan raya umum lalu.
Manakala beberapa bekas ketua cawangan Umno dari Kubang Kerian datang beramai-ramai ke Pejabat Perhubungan Umno Kelantan bagi menyatakan sokongan kepada Dato' Mohammad Ghani yang akan bertanding jawatan ketua bahagian.
Bagaimanapun mereka kelihatan kecewa apabila Mohamad tidak hadir pada perhimpunan tersebut.
Bekas Ketua Cawangan Parit Barat, Mohd Noor Mustafa berkata, beliau membantah tindakan ketua bahagian yang telah mengesahkan mesyuarat cawangan sedangkan beliau sebagai ketua tidak tahu menahu mesyuarat tersebut diadakan.
"Kami telah menghantar surat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Negeri, pengerusi jawatankuasa disiplin dan Setiausaha Umno, namun sehingga kini tiada sebarang jawapan." tambahnya.
Difahamkam Jawatankuasa Pemantau Umno Kelantan menerima lebih 500 bantahan mengenai perjalanan mesyuarat Umno cawangan di seluruh Kelantan yang berakhir 24 Ogos lalu.
Setiausahanya, Mirza Askary Abdul Wahab berkata, bantahan itu meliputi mesyuarat diadakan tanpa notis, tidak cukup korum, pindaan persidangan tanpa pengetahuan dan anggota tidak menandatangani senarai kehadiran. - mj

Tiada ulasan: