Isnin, 29 September 2008

AQIQAH DAN HUKUM YANG BERKAITAN DENGANNYA (bahagian 2)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah Kemampuan Dalam Melakukan Aqiqah Ibu bapa yang berkemampuan, adalah dituntut (sunat) melakukan aqiqah untuk anak mereka itu sehingga anak itu baligh. Jika anak tersebut sudah mencapai umur baligh tetapi ibu bapanya tidak melakukan aqiqah untuknya, maka sunat ke atas anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri dan gugurlah tuntutan sunat ke atas ibu bapa itu melakukan aqiqah anaknya yang sudah baligh itu. Adapun yang dimaksudkan dengan kemampuan yang merupakan syarat untuk melakukan aqiqah itu ialah orang yang hendak melakukan aqiqah itu mempunyai wang belanja yang lebih untuk dirinya dan orang-orang yang di bawah tanggungannya sebelum berlalu jangka masa terpanjang bagi perempuan bernifas iaitu enam puluh hari. Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas berlalu masa tersebut (sebelum itu dia tidak mampu, kemudian selepas enam puluh hari baharulah dia mampu), maka tidak disunatkan ke atasnya melakukan aqiqah. As-Syeikh Muhammad al-Khathib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj mengatakan bahawa jika wali anak tersebut tidak mampu untuk melakukan aqiqah sebaik saja anak itu dilahirkan, kemudian dia mampu sebelum umur anak itu genap tujuh hari, maka sunat ke atas wali itu melakukan aqiqah untuk anaknya itu. Jika kemampuannya itu hanya wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran anaknya dan dalam masa isterinya sudah melalui semaksima hari nifas (enam puluh hari), maka kebanyakkan ulama muta’akhirin berpendapat tidak disunatkan ke atasnya aqiqah. Adapun jika kemampuannya itu wujud selepas hari ketujuh daripada hari kelahiran anaknya dan isterinya masih dalam nifas, maka dalam hal ini para ulama berbeza pendapat. Menurut pendapat Yusuf al-Ardabili di dalam kitabnya al-Anwar li A‘mali al-Abrar, beliau mentarjihkan (lebih cenderung kepada) pendapat yang mengatakan sunat ke atasnya aqiqah. Dalam erti kata lain, jika wali itu tidak mampu sehingga habis masa nifas isterinya, maka gugurlah daripadanya hukum sunat melakukan aqiqah. (Mughni al-Muhtaj: 4/369-370) Aqiqah Anak Zina Menurut Ibnu Hajar adalah sunat ibu tersebut melakukan aqiqah bagi anak zina itu, akan tetapi aqiqah itu hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan) agar tidak menimbulkan keaiban. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371) Waktu Aqiqah Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri. Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya : "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)." (Hadis riwayat al-Hakim) Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya). Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari. Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga melakukan aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika tidak sempat melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Begitulah dengan seterusnya boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari yang berikut, seperti pada hari kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya. (Al-Majmu‘: 8/323-324) Di dalam kitab Kifayah al-Akhyar ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun daripada hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur baligh. Jika anak itu mencapai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifayah al-Akhyar: 534) Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. (Al-Majmu‘: 8/323) Adapun menurut Ibnu Hajar, tidak disunatkan aqiqah itu bagi anak keguguran melainkan jika ditiupkan padanya roh. Jika anak keguguran itu tidak ditiupkan padanya roh, maka tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat anak itu di akhirat kelak. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258) Manakala anak damit yang mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada kelahirannya dan dia berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka sunat diaqiqahkan anak tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526 dan al-Majmu‘: 8/323)

Tiada ulasan: