Isnin, 29 September 2008

Aqiqah Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya (bahagian 1)


Setiap anak damit dilahirkan dalam keadaan suci bersih, jauh daripada sebarang pencemaran akidah. Ibu bapa adalah orang pertama yang menunjukkan hala tuju anak tersebut, ke jalan yang mulia atau sebaliknya. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : "Setiap kelahiran (daripada bani Adam) dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapanyalah (yang menjadikannya) Yahudi, Nashrani atau Majusi." (Hadis riwayat al-Bukhari) Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka untuk mengenalkan Allah, mengajar serta membimbing mereka tentang suruhan dan laranganNya. Hal ini hendaklah diserapkan ke dalam jiwa dan minda mereka sejak dari kecil lagi, bahkan Islam telah menganjurkan kita supaya menyerukan azan dan iqamah di telinga anak damit itu sejak dari lahir lagi. Azan dan iqamah dilakukan supaya kalimah tauhid dan kalimah yang mengakui keagungan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan keesaanNya adalah perkataan yang mula-mula didengar oleh anak itu dan akan meresap ke hatinya yang suci bersih serta meninggalkan kesan yang amat bererti buat dirinya. Selain dari itu, menyerukan azan dan iqamah juga adalah sebagai usaha untuk memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, di mana dengan seruan azan dan iqamah ini syaitan akan lari dari anak tersebut. (Bujairimi ‘ala al-Khatib: 4/436-437) Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksdunya : "Sesiapa yang dikurniakan anak yang baru lahir, maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqamah di telinga kiri, nescaya tidak akan menyakitinya Umm ash-Shibyan (pengikut jin atau penunggu atau suatu penyakit yang terkena pada kanak-kanak pada masa kecilnya)." (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunni) Demikian juga Islam menganjurkan supaya melakukan aqiqah bagi anak damit tersebut. Ini bertujuan untuk mezahirkan perasaan syukur ibu bapa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala di atas anugerah cahaya mata atau zuriat keturunannya. Di samping itu daging aqiqah yang dimasak dengan sedikit rasa manis itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi elok dan baik. (Al-Majmu‘: 8/322) Pengertian Aqiqah Menurut Syara‘ Aqiqah dalam pengertian syara‘ ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an‘am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya. Hukum Aqiqah Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hasan dan Husain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda yang maksudnya : "Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing." (Hadis riwayat Abu Daud) Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah ianya dipanggil aqiqah wajib. Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : "Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi) Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis "anak tergadai dengan aqiqahnya" di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat yang terbaik. (Mughni al-Muhtaj: 4/369) Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa. Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah (bapa atau ibu). Sebagaimana Nabi pernah mengaqiqah cucunda Baginda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain sama ada dengan sebab izin daripada Sayyidina ‘Ali menantu Baginda ataupun ketika itu Sayyidina ‘Ali dan isterinya tidak berkemampuan lalu tertanggunglah nafkah tersebut ke atas Baginda Rasulullah. Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan itu. Ini kerana perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru‘ (sedekah). Jika diambil perbelanjaan itu daripada harta anak tersebut, maka aqiqah yang dibuat itu tidak sah dan ibu atau bapa tersebut wajib menggantinya. (Al-Majmu‘: 8/324 dan Mughni al-Muhtaj: 4/369

Tiada ulasan: